Maritim Malaysia terima penghargaan BAKAMLA
PUTRAJAYA – Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA) menyampaikan surat penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atas kerjasama yang diberikan agensi itu dalam operasi penahanan sebuah kapal tangki berbendera Iran, MT Arman 114 minggu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Mariitm Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin berkata, dalam kejadian itu kapal tangki itu didakwa terlibat dalam aktiviti pemindahan haram minyak mentah di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, BAKAMLA telah memohon bantuan Maritim Malaysia bagi melakukan tindakan kejar buru dalam operasi menahan kapal suspek setelah mendapati telah berlaku aktiviti pemindahan minyak yang mencurigakan kepada kapal MT S Tinos berbendera Cameroon setelah kapal berkenaan melepasi sempadan perairan republik tersebut seterusnya memasuki Zon Maritim Malaysia.
“Bertindak kepada maklumat yang diterima, Maritim Malaysia telah mengatur gerak sebuah pesawat udara yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia ke lokasi yang telah dikenalpasti dalam perairan Malaysia.
“Dalam tindakan kejar buru itu, kru helikopter AW 139 Maritim Malaysia telah berjaya melakukan pintasan terhadap kapal tangki yang terlibat, seterusnya tujuh anggota STAR TEAM telah melakukan fast roping di atas kapal suspek bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kapal tangki tersebut disyaki melakukan pelanggaran peraturan maritim antarabangsa dan menyalahi peraturan Indonesia yang dipercayai membawa lebih 200,000 tan metrik minyak mentah bernilai puluhan juta dolar.
“Setelah pemeriksaan dilakukan, anggota-anggota STAR Team turut berjaya menahan 28 anak kapal warga Syria dan tiga penumpang lain.
“Tindakan kerjasama bersepadu antara BAKAMLA Indonesia dan Maritim Malaysia ini menunjukkan keberkesanaan kerjasama yang dijalinkan sejak sekian lama melalui latihan bersama di kawasan perairan Selat Melaka.
“Kejayaan operasi ini turut membuktikan kerjasama antara negara Malaysia-Indonesia dalam memastikan keamanan dan keselamatan di perairan wilayah masing-masing seterusnya memberikan keyakinan kepada kapal-kapal dagang melalui kawasan ZEE dengan selamat, seterusnya menyumbang kepada kestabilan maritim serantau,” ujarnya.