PM terima kunjungan Ustaz Abdul Somad
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara.
Menurut Perdana Menteri, dalam pertemuan itu, beliau dan pendakwah yang berasal dari Sumatera Utara itu turut membincangkan mengenai dinamika dakwah dan isu-isu agama yang merentas sempadan Alam Melayu.
“Saya hargai usaha dakwah Ustaz Abdul Somad yang aktif khususnya di alam Melayu. Sesungguhnya, para da’i dan ulama di alam Melayu ini saling mendukung dan melengkapi pemerintahan umara’ sejak sekian lama.
“Peranan ulama Melayu seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syed Abdul Samad al-Falimbani , Raja Ali Haji dan Buya Hamka punyai hikmah, kedalaman ilmu dan berani dalam melaksanakan dakwah telah menyumbang kepada perjuangan melawan penjajah serta benteng kepada akidah umat di rantau ini,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di laman Facebook milik beliau, hari ini.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau dan Ustaz Abdul Somad juga bersependapat bahawa pentingnya dakwah yang berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dengan lebih bijaksana.
Ustaz Abdul Somad kini berada di Malaysia dalam rangka siri ceramahnya.