Berita Semasa

Remaja maut 10 motosikal berlanggar sesama sendiri

NILAI – Seorang remaja maut dalam satu kemalangan melibatkan 10 buah motosikal berlanggar sesama sendiri di Kilometer 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah Seremban, di sini malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11.30 malam itu menyebabkan mangsa berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala sembilan lagi tercedera.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika kesemua penunggang yang terlibat sedang dalam perjalanan dari arah Nilai menuju ke Seremban.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai telah gagal dikawal sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang cedera parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video kemalangan itu menjadi tular di media sosial, dan memaparkan beberapa mangsa yang cedera terbaring di atas jalan raya.

Menurut Abdul Malek, kesemua mangsa lelaki yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk menerima rawatan lanjut manakala mangsa yang maut turut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button