Politik

PRN: Berkempen jangan sampai jatuhkan maruah, pesan Menteri Perpaduan

PUTRAJAYA – Semua parti politik dan anggota masyarakat dinasihatkan untuk menjaga adab sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu Ogos ini. 

Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, ia adalah penting bagi memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat terus teguh.

“Saya sebagai Menteri Perpaduan berharap walaupun kita akan menghadapi PRN dari segi perpaduan kita perlu kekal teguh.

“Disebabkan kita berkempen tidak bolehlah kita berkempen untuk menjatuhkan maruah ataupun memfitnah atau sesuatu yang boleh membawa kepada pepecahan terhadap perpaduan.

“Bagi Kementerian Perpaduan ini yang kita mahu jaga dan pesan kepada semua untuk jangan terlalu sensitif dalam PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Ini Warisan Kita di pusat beli belah IOI di sini, hari ini.

Menurut Aaron Ago, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memelihara perpaduan dengan meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan penghayatan rakyat berbilang kaum tentang warisan negara

Program bertemakan ‘Melestarikan Perpaduan’ itu diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu dan telah melabuhkan tirainya hari ini.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program tersebut termasuklah persembahan berunsur kebudayaan serta pameran manuskrip warisan khazanah negara oleh Arkib Negara, Jabatan Muzium dan Perpustakaan Negara.

Show More

Related Articles

Back to top button