Berita Semasa

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hingga jam 5 petang ini – MetMalaysia

KUALA LUMPUR – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda tujuh negeri sehingga jam 5 petang ini, ramal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam satu perkongsian di Facebook hari ini berkata, keadaan tersebut diramal berlaku di Perak (Batang Padang) serta Melaka.

Selain itu, di Terengganu cuaca sama diramal melanda Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala bagi Pahang pula membabitkan Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Di Negeri Sembilan pula membabitkan kawasan Jelebu dan Rembau.

“Hujan lebat, ribut petir serta angin kencang turut diramal berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi manakala di Sarawak membabitkan kawasan Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau),” katanya.

Tambah Met Malaysia, terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Justeru itu, amaran telah dikeluarkan kepada orang awam sebagai langkah berhati-hati.

“Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam,” katanya lagi.

Orang awam yang mahu mendapatkan perkembangan semasa cuaca boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan mengikuti semua media sosial rasmi Met Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca.

Show More

Related Articles

Back to top button