PRN: Penganalisis beri bayangan Perikatan Nasional mungkin tawan Selangor
KUALA LUMPUR – Penganalis politik memberi bayangan terdapat kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos ini.
Menurut penganalis, Marzuki Mohamad, kajian yang dijalankan di 39 kawasan DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di negeri Selangor menunjukkan tidak berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan pengundi Melayu.
Jelasnya, pengundi Melayu BN tidak semestinya mengundi calon PH dan pengundi Melayu PH juga tidak semestinya mengundi calon BN dalam PRN akan datang.
Kajian melibatkan 1,200 orang responden yang berlangsung pada 1 Mac – 20 April 2023 itu juga memperlihatkan majoriti pengundi Melayu akan mengundi PN.
“Dalam kalangan pengundi Melayu BN, 39 peratus telah menyatakan akan mengundi PN dan hanya 15 peratus akan mengundi PH.
“Ini bermakna, 7 daripada 10 pengundi Melayu BN yang telah membuat keputusan mengenai pemilihan parti dalam PRN nanti memilih untuk mengundi calon PN.
“Baki 49 peratus pengundi Melayu BN masih belum pasti tentang parti yang akan diundi kelak. Namun, penelitian yang lebih mendalam mendapati sebahagian besar daripada mereka ini lebih cenderung untuk menyokong PN berbanding PH,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Marzuki, kajian tersebut turut dijalankan bersama penyelidik di Institut Masa Depan Malaysia, Khairul Syakirin Zulkifli dan telah direkodkan dalam bentuk penulisan ilmliah bertajuk “Why Perikatan Nasional May Win in Selangor”.
Tambahnya lagi, pertarungan sengit dijangkakan akan berlaku pada PRN Selangor dengan kelebihan memihak kepada PN terutamanya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Untuk rekod, terdapat 56 kerusi DUN di Selangor. 39 adalah kerusi majoriti Melayu dan 17 adalah kerusi majoriti bukan Melayu. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri adalah 29 kerusi.