PM beri jaminan siasatan rapi isu rasuah KLIA
KUALA LUMPUR – Siasatan rapi akan dibuat terhadap isu membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khususnya dakwaan wujud salah laku dan amalan rasuah, jamin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, secara umumnya, penugasan kakitangan jabatan imigresen itu di pintu masuk utama negara itu berjalan dengan baik dan agensi itu juga memberi respon sangat baik dan positif, terutama terkait perkara berbangkit sejak beberapa hari lalu ini.
“Saya ingin bagi jaminan siasatan rapi akan dibuat. Tapi umumnya majoriti petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan sewajarnya
“Saya cuba teliti langkah diambil setakat ini dan saya lihat Imigresen buat respon yang sangat baik dan positif. Yang harus kita kenalpasti adalah kelompok kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan. Siasatan rapi akan dibuat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membuat lawatan mengejut di KLIA hari ini.
Tambah Anwar, perbincangan awal berkaitan beberapa isu dibangkitkan beberapa hari lalu akan dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
Beberapa hari lalu, tular gambar dan laporan berita yang mendakwa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan seorang pelancong dari China, namun ia dinafikan Ahli Parlimen Bintulu itu.
King Sing sebaliknya mendakwa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara itu, sehingga mengundang beberapa kenyataan penafian daripada kesatuan dan kakitangan yang mewakili agensi berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, yang dihubungi hari ini turut memaklumkan polis sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di KLIA membabitkan Menteri Pelancongan, Khamis lalu.
Beliau berkata, siasatan polis pada masa ini ada adalah untuk menentukan adakah wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden itu.