Pulihkan kedudukan kewangan, pinjaman Felda distruktur semula – PM Anwar
CYBERJAYA – Kerajaan perlu melaksanakan penstrukturan semula pinjaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi memulihkan kedudukan kewangan agensi tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan kerajaan yang telah beliau tandatangani merupakan langkah ke arah itu.
“Jaminan kerajaan ini dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan supaya ia terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu Felda,” kata Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda ini akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah ini akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021.
“Kerajaan telah menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun Kerajaan dengan melantik Amanah Raya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasi Felda berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.
“Kerajaan telah bersetuju memberi jaminan kerajaan kepada Felda pada tahun 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi Felda yang telah bermula pada tahun 2020 untuk tempoh lima tahun,” jelas Anwar lagi.