Exco Selangor diarah tidak guna kenderaan rasmi hadiri program politik
SHAH ALAM – Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor diarah supaya tidak menggunakan kenderaan rasmi mereka bagi menghadiri program politik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, larangan itu dibuat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berkuat kuasa hari ini.
Malah beliau turut memaklumkan kesemua kenderaan rasmi kerajaan negeri itu akan diserah sehari sebelum hari penamaan calon.
“Kita akan mula hentikan penggunaan kenderaan rasmi sehari sebelum hari penamaan calon, kerana sebaik pembubaran DUN hari ini, masih ada program rasmi yang perlu dihadiri Exco-Exco termasuk mesyuarat tertentu,” katanya.
“Saya telah mengeluarkan arahan supaya Exco-Exco tidak membawa kenderaan rasmi mereka, walaupun tidak salah, ketika program politik sepanjang sebelum hari penamaan.
“Jadi kalau boleh, mereka kena elak untuk menggunakan kenderaan itu kerana ia tidak membawa imej yang baik dan bagi menjamin tata kelola yang betul,” katanya.
Terdahulu, Amirudin menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Pemimpin Masyarakat negeri, di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.
Pada majlis yang sama, beliau menyaksikan penyerahan watikah pembubaran DUN oleh Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Shafie Taib.
Penyerahan notis dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN pada Isnin lepas, sekali gus membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.