MB Kedah sindir menteri tunggang lembu
BALING – Tindakan seorang menteri yang menunggang seekor lembu baru-baru ini disifatkan oleh Menteri Besar Kedah sebagai cerminan prestasi yang mendukacitakan.
Datuk Seri Sanusi Md Nor berkata, sebagai seorang pemimpin yang bertaraf menteri, individu tersebut tidak seharusnya mempamerkan sikap yang boleh dijadikan bahan jenaka oleh rakyat.
“Ada orang pi naik lembu, jadi menteri masalah tak selesai”.
“Dia pi naik lembu, orang gelak la. Jadi pemimpin, jadi menteri, jangan buat kerja macam tu, ditertawakan. Itulah prestasi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Geran Tanah kepada 12 keluarga mangsa banjir puing Kampung Iboi di Kupang, di sini hari ini.
Sanusi yang merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian merujuk kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
yang tular dalam satu video menunggang lembu sado beberapa hari lalu.
Pada majlis berkenaan, seramai 12 keluarga yang kehilangan rumah selepas banjir puing melanda Kampung Iboi tahun lalu, menerima kunci rumah masing-masing berserta geran daripada Muhammad Sanusi.
Sementara itu Berita Harian melaporkan Timbalan Pengerusi PN Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, PN sedia untuk menawan enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PN).
Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan atau ‘gelombang hijau’ rakyat terhadap gabungan itu yang didakwanya semakin meningkat berbanding Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada November lalu.
“Gelombang PRU-15 masih bersama PN, saya yakin makin meningkat sebab dahulu orang tak tahu prestasi. Sekarang orang tengok prestasi sangat mendukacitakan, maka orang sambung dengan ‘gelombang’ sedia ada,” katanya.
Muhammad Sanusi bagaimanapun mengakui situasi politik di negara ini ketika ini tidak sama seperti dahulu.
“Susah memang susah politik, sekarang kita punya pola politik tak macam dahulu, perlu ‘alert’ (peka),” katanya.
Enam negeri akan mengadakan PRN ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PN, selain Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah PH.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dijadual dibubarkan pada 28 Jun ini, sama tarikh dengan Negeri Sembilan.
Pembubaran DUN Kelantan pula lebih awal iaitu 22 Jun, manakala DUN Pulau Pinang dijadual dibubarkan pada 30 Jun.
Setakat ini, Selangor dan Terengganu belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing.