Jenayah & Mahkamah

Guru wanita cedera lindungi murid tadika daripada lelaki mengamuk

SARIKEI – Seorang guru wanita cedera ketika melindungi sembilan muridnya daripada seorang lelaki yang mengamuk di sebuah tadika, di sini hari ini.

Laporan portal Awani menyebut, Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Awang Arfian Awang Bujang sebagai berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.20 pagi itu, suspek dipercayai datang secara tiba-tiba di tadika terbabit dan cuba memasukinya.

“Suspek yang berusia 17 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

“Dia bertindak memecahkan tingkap serta pintu belakang tadika berkenaan sebelum bergelut dengan mangsa,” katanya.

Awang Arfian berkata, guru itu mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan belakang badan akibat pergelutan berkenaan.

Difahamkan, guru wanita itu kemudian dibantu pengawal keselamatan yang berjaya menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan masing-masing kerana melakukan khianat harta benda dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Show More

Related Articles

Back to top button