SPRM Pahang tahan 3 lelaki disyaki terlibat aktiviti curi balak
CYBERJAYA – Dua penjawat awam dan seorang pesara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima ‘wang habuan’ bagi melindungi kegiatan mencuri kayu balak dari kawasan hutan simpan sekitar Kuala Lipis.
Laporan Utusan Online yang memetik sumber berkata, suspek pertama yang berusia 40 tahun ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberi keterangan pada 2.30 petang tadi manakala suspek kedua, 61, ditahan pada kira-kira 7 malam semalam.
Kedua-dua suspek lelaki itu dipercayai menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 daripada pemilik syarikat dari November 2019 hingga 2020.
Suspek ketiga yang berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Raub.
Suspek ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM1,500 sebanyak dua kali sebagai balasan untuk melepaskan barang-barang yang disita oleh sebuah jabatan kerajaan yang terbabit dengan aktiviti perhutanan.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.