Kerja perobohan Stadium Shah Alam ditangguh awal Oktober
SHAH ALAM – Proses merobohkan Stadium Shah Alam yang dijadualkan bermula bulan ini terpaksa ditangguh kepada awal Oktober, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Menurut Amirudin, penangguhan tersebut adalah disebabkan faktor-faktor tertentu, namun sasaran projek tersebut untuk siap sepenuhnya masih kekal sama iaitu pada tahun 2026.
“Kita terpaksa ambil masa, sepatutnya bulan ini untuk mula perobohan tetapi kita hendak bincang supaya dapat harga yang lebih baik dengan syarikat yang akan membina kawasan ini.
“Sekarang ini proses penghantaran permohonan Kebenaran Merancang (KM) sudah dilakukan.
“(Kompleks) tetap akan siap pada tahun 2026 iaitu mula awal 2026 dan (siap) suku ketiga tahun 2026,” katanya memetik laporan Astro Arena.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan sempena Program Selangor Youth Festival 2023 semalam.
Inisiatif tersebut memperuntukan sumbangan berjumlah RM500 kepada semua pemandu e-hailing khususnya di negeri Selangor.