Berita SemasaPM X

Pandangan, kritikan mahasiswa penting dalam tingkatkan mutu universiti – PM Anwar

GEORGETOWN – Pandangan dan kritikan golongan mahasiswa perlu diambil kira bagi meningkatkan meningkatkan taraf dan mutu universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Selepas ini, saya bercadang untuk berjumpa dengan naib-naib canselor semua universiti bagi membincangkan perkara ini.

“Hanya dengan membenarkan pelajar berkongsi pandangan dan kritikan, kita boleh meningkatkan taraf universiti,” kata Anwar dalam program Temu Anwar di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Anwar menambah, pelajar pengajian tinggi juga perlu menimba ilmu supaya dapat membuat penilaian yang baik serta boleh membentuk pemikiran kritis.

“Negara mengharapkan generasi muda khususnya dalam kalangan mahasiswa yang mempunyai karisma, pendirian, keyakinan, keberanian, matlamat dan tujuan hidup yang jelas.

“Kita khususnya mahasiswa tidak boleh berada dalam kerangka perkauman sempit atau bersikap pelampau agama serta menanam kebencian dalam kalangan masyarakat,” tambah beliau lagi.

Kata Anwar lagi, prinsip yang termeterai dalam Perlembagaan tentang kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu dan raja-raja Melayu diterima namun ia bukan alasan untuk menanam bibit-bibit kebencian.

“Kita terima kenyataan dan prinsip yang termeterai namun ia bukan alasan untuk kita tanam bibit-bibit kebencian kerana semua rakyat tanpa kira warna kulit dan keturunan mempunyai hak.

“Oleh itu, ini ketikanya yang mana, anak-anak muda bangkit mempertahankan nilai-nilai negara yang kita pegang selama ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button