Bisnes & Ekonomi

Shaik Abdul Rasheed dilantik Gabenor Bank Negara yang baharu

KUALA LUMPUR – Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu berkuatkuasa 1 Julai ini.

Pelantikan beliau diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Abdul Rasheed berkata, pelantikan sebagai Gabenor merupakan suatu penghormatan buatnya.

“Saya akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Gabenor Shamsiah. Di bawah kepimpinan beliau, BNM terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik.

“Beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan BNM pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan.

“Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor,” katanya.

Abdul Rasheed mula berkhidmat di BNM pada tahun 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Beliau juga mempunyai Ijazah Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Saïd Business School, Oxford University.

Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.

Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015.

Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026).

Show More

Related Articles

Back to top button