PRN Selangor: Takutkan pengundi Melayu dengan DAP tidak berasas
KUALA LUMPUR – Tindakan Pembangkang yang memainkan sentimen dominasi DAP di negeri Selangor bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu disifatkan tidak berasas, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.
Menurut Dr Mohd Zaidi, beliau mengesahkan DAP tidak akan menguasai politik Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika pembangkang terus memainkan isu dan sentimen kononnya satu undi kepada Barisan Nasional (BN) bermakna satu kepada DAP.
Katanya, rekod penyertaan DAP sejak tiga pilihan raya lalu menunjukkan parti itu bertanding dan menang hanya di satu per empat daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Kenapa mahu takutkan Melayu dengan DAP. Kalau kita tengok jumlah kerusi yang ada (di Selangor), hanya 13 hingga 15 kerusi (DUN) saja (yang DAP menang dalam pilihan raya umum), itu pun jumlah yang mereka (DAP) bertanding atau menang. Tidak lebih dari itu.
“Sedangkan keseluruhan kerusi DUN Selangor adalah 56 kerusi. Jumlah ditandingi DAP, hanya satu per empat. Kalau dia menang semua (kerusi ditandingi) pun, dia masih tak mengatasi jumlah kerusi daripada parti lain.
“Jadi apa yang kita mahu takutkan?,” soalnya ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan mengenai Pas dan Bersatu yang sebelum ini pernah bersama DAP, malah pernah mengajak ahlinya untuk mengundi lambang roket dalam pilihan raya yang mereka sertai bersama dulu.
“Mereka mengundi DAP atas lambang roket dan puak-puak Pas ini, dia boleh mengundi walaupun DAP guna lambang roket, dalam Pakatan Rakyat mereka menang besar, ketika orang Pas waktu itu disuruh mengundi DAP.
“Kenapa apabila tiba masa kita.. tak boleh. Apa yang dia buat halal, yang kita buat jadi haram,” katanya lagi.