Lelaki tunjal kepala pemandu wanita mengaku bersalah, dipenjara 7 hari
TAPAH – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas lelaki yang mengasari pemandu wanita di Lata Iskandar, pada Isnin lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret Siti Hanum Mohmad terhadap penyelia kilang, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut pemandu wanita terbabit dalam insiden yang tular di media sosial.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zaim didapati menakutkan secara jenayah terhadap mangsa, Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah – Cameron Highlands pada jam 5.33 petang 5 Jun lalu dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.
Rentetan daripada itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya J Geetha yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, Mohammad Zaim meminta hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung seorang isteri yang hamil lapan bulan dan seorang anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan iaitu masing-masing penjara tujuh hari yang berjalan serentak dari tarikh sabitan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Siti Hanum berkata, setiap tindakan yang dilakukan ada kesannya sama ada kepada diri sendiri atau keluarga dan masyarakat.
“Maka fikirlah dulu sebelum bertindak,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu tular satu video berdurasi 59 saat memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta Proton Persona dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.