Berita Semasa

Anak Menteri Pendidikan peroleh 9A dalam SPM

KUALA LUMPUR – Anak kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dan 2B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Meskipun sibuk dan mempunyai jadual yang padat hari ini, Fadhlina bersama suaminya sempat meluangkan masa meraikan keputusan SPM anaknya, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini.

“Pagi ini saya bersama suami hadir mengambil keputusan anakanda sulung saya di sekolah. Alhamdulillah atas nikmat dan rezeki dari Allah subhanahu wa ta’ala, anakanda Thurayya Fadhilah berjaya memperoleh keputusan 9A dalam SPM tahun 2022.

“Sebagai ibu, saya sangat terharu dengan kejayaan ini kerana saya tahu jerih perih usaha yang telah anakanda berikan dan terhadnya masa dan perhatian yang saya luangkan untuk bersamanya menghadapi tahun-tahun yang mencabar ini.

“Semoga anakanda terus berusaha mencapai kejayaan dunia dan akhirat,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu beliau turut berkongsi kenangan indah itu dengan memuat naik beberapa keping gambar bersama anaknya.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2022 bagi Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik, iaitu 4.75 berbanding 4.81 pada SPM 2021, dengan GPN mengecil sebanyak 0.06 mata.

Seramai 17 calon atau 0.11 peratus daripada 15,102 keseluruhan pelajar menduduki SPM di WP Kuala Lumpur pada 2022 meraih pencapaian cemerlang tertinggi (Gred A+), dalam semua mata pelajaran, sekali gus meningkat 0.04 peratus berbanding 2021.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button