Berita Semasa

PDRM, Polis Thailand pergiat usaha kesan rakyat Malaysia hilang di Chiang Mai

CYBERJAYA – Operasi mengesan rakyat Malaysia, Chong Sum Yee, yang hilang di Chiang Mai, Thailand sejak 1 Jun lepas digiatkan dengan bantuan Polis Thailand.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita berusia 22 tahun itu daripada ibunya, Chee Choy Wen pada 2 Jun lepas.

“Usaha untuk mengesan mangsa sedang giat dijalankan oleh polis Thailand melalui bantuan Polis Antarabangsa, PDRM, pihak berkuasa Thailand dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, Chong berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei dan melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer ke daerah utara Mae Sai di wilayah Chiang Rai.

Lokasi berkenaan berdekatan dengan bandar Tachilek di Myanmar, iaitu lokasi di mana kes-kes perdagangan manusia pernah dilaporkan.

Kali terakhir Chong dihubungi keluarga adalah pada 1 Jun, 10.30 pagi (waktu tempatan).

Ibu wanita berkenaan berkata anak perempuannya memberitahu bahawa dia berada di Thailand atas urusan kerja tetapi dinafikan majikannya.

Show More

Related Articles

Back to top button