Lelaki ‘tunjal’ kepala wanita direman tiga hari
CYBERJAYA – Lelaki yang dirakam ‘menunjal’ kepala seorang wanita dalam sebuah video yang menjadi tular sejak kelmarin, direman selama tiga hari bermula hari ini.
Ketua Polis Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, perintah reman dikeluarkan ke atas suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor.
“Permohonan tahanan reman ke atas suspek dilakukan di Mahkamah Tapah bawah Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan selama tiga hari hingga Jumaat,” kata Wan Azharuddin.
Semalam, lelaki itu ditahan di sekitar Serdang dan dibawa ke Balai Polis Tapah untuk membantu siasatan.
Video insiden yang menjadi tular itu dipercayai dirakam ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah, dan perselisihan faham itu difahamkan berpunca akibat pemanduan di jalan raya.