Berita Semasa

Keluar kata kesat: DAP buat laporan polis terhadap Sanusi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera daripada DAP, Syarleena Abdul Rashid, membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah itu mengeluarkan perkataan lucah.

Syarleena berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, kira-kira jam 9.15 pagi tadi susulan tular rakaman video membabitkan tindakan Muhammad Sanusi di media sosial.

“Kalau tengok kandungan video terbabit, Muhammad Sanusi dilihat mengeluarkan perkataan kesat merujuk kepada alat kelamin lelaki.

“Perkara ini amat menjijikkan. Sebagai pemimpin, beliau tidak boleh bertindak sedemikian tanpa mengendahkan penontonnya yang juga terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

“Kita hairan dengan kualiti pemimpin sebegini. Saya berharap siasatan dapat dilakukan segera kerana perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bagan merangkap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Sementara itu, Mohammed Taufiq menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi itu tidak menggambarkan budaya sebenar rakyat Kedah yang menjunjung kesopanan, budi pekerti dan lemah lembut.

Justeru, Naib Pengerusi PKR Kedah itu berharap supaya Muhammad Sanusi mempamerkan perilaku lebih baik dan sopan supaya boleh diteladani golongan muda, memandangkan kapasitinya sebagai pemimpin kanan.

Dalam pada itu, Guan Eng ketika bercakap pada sidang media sama menasihati pembangkang supaya tidak menggunakan sentimen 3R yang merujuk bangsa, agama dan institusi diraja untuk meraih sokongan, terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button