Motosikal polis trafik disaman parkir tempat OKU
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ‘berputih mata’ apabila motosikal yang diparkir di kotak kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) dikunci oleh pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, dekat sini.
Kejadian yang tular dalam video berdurasi 40 saat itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Terdahulu tular satu video menerusi aplikasi Twitter yang menunjukkan motosikal anggota polis trafik dikunci oleh seorang pengawal keselamatan.
Sehubungan itu, Mohamad Fakhrudin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, telah mengeluarkan saman terhadap anggota yang menunggang motosikal berkenaan.
“Polis Daerah Petaling Jaya, telah mengesan satu gambar yang tular itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun @nanmanjoi8715 dalam akaun Twitter miliknya, sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan,” katanya.
Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang.
Menerusi video dan gambar yang tular, anggota polis terbabit menunggu motosikalnya yang dikunci dibuka oleh seorang pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan.
Anggota polis trafik terbabit kemudian beredar selepas kunci motosikalnya dibuka.