Kerjasama Muhyiddin-Tun M: ‘Tidak apalah, dia dah letih’ – Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tergugat dengan pengumuman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menjalinkan kerjasama politik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tidak apalah, dia dah letih, dia campur (gabung), okay-okay,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?’ di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), di sini hari ini.
Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, menyatakan hasrat untuk sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir.
Muhyiddin dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini berkata, kerjasama itu adalah demi perjuangan membela agama, bangsa, dan negara.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.
Kenyataan terbaru daripada Muhyiddin tersebut mungkin akan menyaksilan kedua-dua bekas Perdana Menteri itu akan kembali membentuk pakatan selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.