Peruntukan tambahan RM538 juta laksana projek pembangunan di Papar – PM
PAPAR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa peruntukan tambahan untuk projek infrastruktur di kawasan daerah Papar dengan peruntukan berjumlah RM538 juta.
Menurut Perdana Menteri, projek berkenaan antaranya Projek Membina Jalan Raya Pintasan Pengalat-Papar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 juta untuk Projek Menaik Taraf Jalan Raya Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut Papar.
“Kerajaan Perpaduan juga meluluskan permohonan terbaru melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), meliputi Projek Sistem Perparitan Bagi Pekan Kinarut dan Taman Sungai Wang Kinarut, serta Projek Naik Taraf Jalan Taman Limauan Kinarut dan Pekan Kinarut ke Kampung Anak Somboy Kinarut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan Rakyat Parlimen Papar bersama Perdana Menteri, di Palm Square Kinarut, dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Ketua Menteri lll, Sabah Datuk Shahelmey Yahya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata semua peruntukan berkenaan adalah peruntukan tambahan kepada sedia ada yang diumumkan sebelum ini untuk rakyat, khususnya di kawasan Papar.
“Ia adalah peruntukan tambahan yang dipohon oleh Armizan khususnya untuk orang Papar dan saya berharap ia dapat memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan ini,” katanya lagi.