Polis tahan pelajar bantu siasatan kes rakan jatuh tangga bangunan sekolah
GEORGE TOWN – Seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau ditahan bagi membantu siasatan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap rakan sekelasnya pada 25 Mei lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan mendapati berlaku tolak-menolak antara suspek dengan mangsa berusia 14 tahun itu sebelum dia terjatuh dari tangga di bangunan asrama institusi berkenaan.
“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan dan menerima rawatan di hospital.
“Pada awalnya kita mohon reman ke atas pelajar berkenaan namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai merakamkan keterangannya berhubung insiden tersebut.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan lanjut.