Erdogan menang Pilihan Raya, pertahan kedudukan sebagai Presiden Turkiye
ANKARA – Presiden Recep Tayyip Erdogan menang pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye, sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.
Lembaga Pilihan Raya negara itu mengesahkan dengan 99 peratus undi selesai dikira, kiraan rasmi menunjukkan Erdogan peroleh 52.14 peratus sokongan.
Sementara itu seteru Erdogan, Kemal Kilicdaroglu menerima 48.09 peratus undi secara keseluruhannya.
Kilicdarogu bagaimanapun mendakwa, pilihan raya berlangsung dalam keadaan tidak adil.
Terdahulu, pusingan pengundian pertama pada 14 Mei menyaksikan tiada pihak mendapat 50 peratus undi mutlak.
Untuk rekod, Erdogan menjadi Perdana Menteri pada 2003 dan menyusul menjadi Presiden pada 2014.
Pilihan raya kali ini disifatkan paling signifikan buat Turkiye susulan pembangkang sebelum ini yakin ada peluang menyingkirkan Erdogan selepas kemerosotan popularitinya gara-gara krisis kos sara hidup.
Sebaliknya, kemenangan ini akan mengukuhkan lagi imejnya selepas mengubah dasar domestik, ekonomi, keselamatan dan dasar luar.