PM luluskan peruntukan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan dengan keuzuran dan kesukaran dalam hidup.
Pengumuman itu dibuat beliau ketika majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, di sini hari ini.
“Ada pengumuman kecil yang saya diminta untuk umumkan iaitu tentang Tabung Kasih@HAWANA. Untuk permulaan, saya luluskan RM1 juta,” katanya ringkas.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan sebagai berkata, pelancaran Tabung Kasih@HAWANA adalah satu usaha membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan dengan keuzuran dan kesukaran dalam hidup.
Beliau berkata, menerusi inisiatif bersama Bernama, program itu bakal menjejaki wartawan yang memerlukan bantuan dan memberikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan sewajarnya.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya menyifatkan akhbar di negara ini masih mempunyai peranan tinggi kepada masyarakat.
“Selain daripada melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya anggap membaca surat khabar itu satu perkara yang wajib.
“Jadi saya teruskan dan saya masih mewakili pandangan bahawa surat khabar itu masih mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar,” katanya.
Beliau turut menegaskan satu kupasan di Amerika Syarikat pada tahun lalu yang menyatakan pandangan media utama akan merosot juga terbukti salah.
“Nampak terbukti salah. Ada beberapa media kalau dipertahankan integriti, kebebasan dan mutunya mampu bertahan,” katanya lagi.