Kanak-kanak perempuan 5 tahun maut digilis lori
MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut digilis lori ketika sedang bermain di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian berhampiran rumahnya akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celah pokok berhampiran lokasi kejadian.
“Pada masa sama sebuah lori jenis Daihatsu Delta dipandu seorang lelaki ingin keluar simpang tiga di lokasi telah memastikan keadaan selamat.
“Mangsa bagaimanapun dipercayai ketika sedang bermain di celah-celah pokok tiba-tiba berlari ke arah lori yang sedang bergerak,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Keadaan itu, katanya mengakibatkan pemandu lori berusia 37 tahun itu terlanggar sebelum menggilis mangsa.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Pemandu lori berkenaan juga akan menjalani ujian sampel darah bagi bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.