Berita Semasa

Pelancaran logo, tema Hari Kebangsaan diawalkan, mudahkan persiapan

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan persiapan rapi dapat dilakukan, tarikh pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023 telah diawalkan pada Sabtu ini, jelas Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia Datuk E. Sivabalan. 

Menurut Sivabalan, program berkenaan melibatkan banyak pihak seperti syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan bukan kerajaan (NGO), justeru terdapat keperluan untuk mengawalkan majlis pelancaran tersebut.

“Tarikh pelancaran telah diawalkan berbanding tahun 2022 dengan hasrat agar persiapan di setiap negeri-negeri yang lain di Malaysia dapat dirancang dan dilaksanakan lebih awal.

“Pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, GLC dan kolaborasi bersama persatuan-persatuan serta non-governmental organization (NGO),” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia, siaran TV1 RTM pada Selasa.

Jelasnya, majlis pelancaran yang akan diadakan pada 27 Mei jam 11.00 pagi itu bakal diadakan di tiga lokasi  serentak iaitu di Esplanade, Taman KLCC, di sini; Mydin Petrajaya, Kuching, Sarawak; dan 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah. 

Yang akan hadir merasmikan pelancaran di sini, Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Fahmi Fadzil. 

Sementara itu, di Sarawak pula, akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Menteri yang Bertanggungjawab Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023, Peringkat Negeri Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, manakala di Sabah oleh Menteri Kewangan negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Tambah Sivabalan, majlis pelancaran itu akan disiarkan secara langsung di saluran TV1 dan RTM yang akan turut menampilkan persembahan ‘flashmob’ atau persembahan kilat berkumpulan bagi lagu Malaysia MADANI.





Show More

Related Articles

Back to top button