LIMA ‘23: APMM pamer kesiagaan, keupayaan aset
LANGKAWI – Sebanyak empat buah kapal dan dua buah helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal dipertontonkan dalam pemeriksaan armada sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) di sini, pada 23 hingga 27 Mei depan.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut bakal menyajikan demonstrasi menyelamat di kapal yang akan dikendalikan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (STAR TEAM).
Katanya, demonstrasi tersebut akan memperlihatkan bagaimana agensi ini melaksanakan tugas dalam situasi sebenar khususnya melibatkan serangan bersenjata seperti rompakan di laut.
“Maritim Malaysia turut terlibat dalam pameran statik dengan membawa aset milik agensi seperti bot Benteng dan Jet Ski di Resort World Langkawi (RWL).
“Reruai terbuka akan menampilkan maklumat berkaitan agensi ini selain pameran senjata serta teknologi terkini yang digunapakai oleh anggota ketika menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, Maritim Malaysia turut membuka reruai di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) pada tarikh yang sama.
Dengan mengetengahkan rekaan haluan kapal sebagai inspirasi binaan pada kali ini, para pengunjung yang hadir ke reruai berkenaan akan dapat merasai suasana berada di atas kapal sebenar.
Dalam pada itu, aktiviti yang dijangka bakal mencuri tumpuan pada reruai pameran Maritim Malaysia pada kali ini adalah virtual reality (VR).
“VR yang disediakan ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dari perspektif seorang anggota Maritim Malaysia yang sedang bertugas melaksanakan operasi penguatkuasaan di atas bot serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari udara menggunakan kaedah winching,” katanya lagi.
Secara keseluruhannya, penyertaan Maritim Malaysia dalam LIMA ‘23 dilihat dapat membantu mempamerkan keupayaan dan kesiagaan Malaysia dalam aspek keselamatan maritim serta memberi peluang untuk membina hubungan dengan organisasi lain dalam industri maritim dan aeroangkasa.