Hiburan

Penerbit filem Anwar: The Untold Story dakwa ‘disabotaj’ pawagam

KUALA LUMPUR – Pihak produksi filem Anwar: The Untold Story meluahkan rasa kecewa susulan filem tersebut tidak mendapat sokongan penuh daripada pengusaha pawagam di negara ini. 

Menurut Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff, kutipan filem berkenaan seperti ‘disabotaj’, walaupun mendapat kutipan sebanyak RM1 juta pada hari pertama tayangan. 

Jelas Mohamed Yusoff, jumlah kutipan filem berkenaan masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan dan memburukan keadaan lagi, jumlah slot tayangan bagi filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu juga sedikit berbanding filem antarabangsa yang lain. 

“Saya kesal filem Anwar: The Untold Story disabotaj oleh pihak pawagam. Lebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa, namun hanya memberikan empat slot untuk naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan Perdana Menteri menentang amalan rasuah ini.

“Ini juga satu tindakan tidak adil buat pembikin karya tempatan sedangkan filem Anwar: The Untold Story ini sedang mendapat perhatian ramai, apatah lagi, ia mengenai kisah Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Tambah Mohamed Yusoff, aduan yang dikemukakan kepada pihak pengusaha pawagam juga tidak mengubah keadaan sehingga hari ketiga tayangan pada Jumaat lalu. 

“Ramai penonton membuat aduan tidak dapat menonton di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.

“Jadi, kami bertindak membuat aduan kepada pihak pawagam, namun keadaan masih sama pada hari ketiga tayangan, semalam.

“Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button