Berita SemasaHiburan

Agung, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Michelle Yeoh menang Golden Globe

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh.

Ucapan itu dizahirkan selepas Michelle menjadi pelakon Malaysia pertama yang meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Amerika Syarikat.

Menerusi satu catatan di Facebook Istana Negara, baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Michelle kerana mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Selain itu, ia juga sekali lagi membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut Istana Negara.

Baginda berdua juga menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Michelle dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Pelakon berusia 60 tahun yang menempa nama melalui filem-filem franchais berjenama besar termasuk James Bond itu memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Dalam Filem Muzikal atau Komedi menerusi filem lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

Show More

Related Articles

Back to top button