Kerajaan tidak akan benarkan al-Quran diterbit dalam tulisan rumi
KUALA LUMPUR – Kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan al-Quran diterbitkan dalam tulisan rumi atau bahasa-bahasa lain selain bahasa Arab di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu jelas dinyatakan di dalam peruntukan undang-undang di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (APTQ 1986)(Akta 326).
“Al-Quran mestilah menggunakan teks asal iaitu dalam bahasa Arab sahaja di negara ini, ini jelas kementerian tekankan.
“KDN juga merujuk keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-24 yang bersidang pada 5 dan 6 Jun 1989 bahawa adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian dalam al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023 yang kemudiannya diluluskan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, setiap syarikat yang dibenarkan mendapat lesen percetakan al-Quran mesti memenuhi garis panduan lesen permohonan percetakan teks al-Quran di bawah APTQ 1986 selain perlu mempunyai dua orang pakar perunding yang mempunyai kelulusan tafsir al-Quran bagi mengelakkan kesalahan semasa penerbitan.
Sementara itu, menyentuh tentang aplikasi al-Quran digital yang banyak terdapat dalam Google Play Store dan Apple App Store seperti yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen dalam sesi perbahasan, beliau berkata, kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi Smart Quran sebagai alternatif bagi penggunaan digital.
Katanya, aplikasi itu dibangunkan hasil kerjasama KDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Aplikasi itu telah melalui proses semakan oleh Lembaga Lajnah Tashih al-Quran serta diperakukan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).
“Berdasarkan semakan KDN terdapat banyak aplikasi al Quran digital dalam Google Play Store dan Apple Apps Store. Semakan mendapati sebahagian menggunakan penulisan Rasm Uthmani yang diguna pakai di negara ini, manakala sebahagian lagi menggunakan rasm lain.
“Aplikasi Smart Quran turut menggunakan terjemahan daripada tafsiran pimpinan Ar Rahman, manakala bacaan qari dengan kebenaran bertulis daripada Mujamma’ Malik Fahd di Arab Saudi,” katanya.