Presiden pertama ABIM, Razali Nawawi meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Dekan pertama Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Razali Nawawi meninggal dunia hari ini.
Allahyarham yang berusia 83 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 pagi di Hospital Pakar An-Nur di sini.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, urusan jenazah Allahyarham akan dilakukan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi.
“Menerima perkhabaran sedih pagi ini apabila guruku, murabbiku dan muaddibkh Prof Dr Razali Nawawi kembali ke Rahmatullah pada jam 6.45 pagi di Hospital Pakar An-Nur.
”Sesungguhnya kami milik Allah dan hanya kepadaNya kami akan kembali.
اَللهُمَّ اغْفِرْلَه وَارْحَمْه وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْه
“Ya Allah, ampunilah dirinya dan kasihilah dia dan afiatkan (selamatkan atau tidak siksakan) dia dan maafkanlah kesalahannya,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu katanya, urusan solat jenazah Presiden pertama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu akan diadakan pada jam 10 pagi ini.
Allahyarham dipilih sebagai Presiden ABIM pertama pada tahun 1972 hingga 1974 dan dilantik sebagai Dekan Kulliyyah Undang-undang UIAM pertama pada 1983 hingga 1993.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluangkan masa menziarahi Allahyarham yang sedang sakit tenat ketika itu.