Siti Nurhaliza terharu nyanyian dipuji PM
BANGI – Tiada yang lebih menggembirakan Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila lagu runut bunyi (OST) filem ‘Anwar: The Untold Story’ dendangannya meraih pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Reaksi pemimpin nombor satu negara meluahkan rasa teruja terhadap lagu ‘Menjaga Cintamu’ mencetuskan pelbagai emosi.
Dia terharu, gembira dan dalam masa sama turut merasa ‘malu-malu’ dengan pujian itu.
Siti bagaimanapun bersyukur sudah menjalankan amanah komposer serta penulis lirik lagu itu sehabis baik.
“Sebenarnya, saya segan, tapi rasa sangat bersyukur. Alhamdulillah. Bermakna usaha dan karya ciptaan Andi Rianto yang dihasilkan khusus untuk filem ini mencapai matlamatnya.
“Sejujurnya, terselit juga rasa gementar, namun pada waktu sama terharu dengan penerimaan serta maklum balas positif PM (Perdana Menteri) terhadap lagu ini.
“Insya-Allah, (lagu) ‘Menjaga Cintamu’ bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang bakal disempurnakan tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana Anwar: The Untold Story, baru-baru ini, lapor KOSMO.
Pada masa sama, Siti mengakui meminta peluang untuk menonton terlebih dahulu filem biopik berkisar perjuangan figura dihormati ramai itu sebelum memasuki studio rakaman.
Katanya, pemahaman mengenai plot pengkisahan sesebuah naskhah membolehkannya menghayati karya ciptaan komposer Indonesia, Andi Rianto dengan lirik hasil ilham Sekar Ayu Asmara itu dengan baik.
“Lagu ini didedikasikan untuk tokoh yang banyak berkorban di samping isterinya yang sering bersabar dan banyak menahan perasaan sepanjang perjuangan mereka.
“Saya berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyampaikan lagu ini,” katanya lagi.
Hadir sama ke majlis tayangan filem berkenaan adalah suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Filem biopik arahan sutradara Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) bersama pelakon Indonesia iaitu Acha Septriasa (Wan Azizah) serta Dewi Irawan.
Filem ‘Anwar: The Untold Story’ mengimbas perjuangan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kancah politik ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.
Naskhah yang diusahakan pembikinannya sejak 2011 dengan menelan belanja sebanyak RM10 juta dan bakal ditayangkan di panggung wayang seluruh negara mulai 18 Mei ini.
Filem itu diterbitkan Yusrych Global Sdn Bhd, manakala DMY Creation selaku pengedar rasmi. – nasionalkini.my