Raja Libas negara Adnan Saidin meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Legenda sepak takraw negara, Adnan Saidin meninggal dunia selepas beberapa hari terlantar di Kedah Medical Centre (KMC), Alor Setar, Kedah kerana disyaki menghidap tibi atau jangkitan paru-paru.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Faizal Adnan dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya.
“Untuk makluman semua abah kami
Adnan Saidim baru saja menghembuskan nafas terakhir.
“Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa-dosa dan terima semua amalannya,” katanya.
Adnan Saidin yang terkenal dengan jolokan Raja Libas bukanlah nama asing dalam sukan sepak takraw.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Libasan Adnan bukan sahaja membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983 tetapi turut menghadirkan gerun buat musuh tradisi, Thailand.