Kerajaan lulus penerbangan sewa khas untuk tarik lebih ramai pelancong
PUTRAJAYA – Kerajaan memberi kelulusan segera penerbangan sewa khas (charter) sebagai langkah untuk menarik lebih banyak pelancong asing ke Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini, hari ini.
Jelas Anwar, perkara tersebut selaras dengan dasar kerajaan dalam memberikan kemudahan untuk menjalankan perniagaan khususnya dalam sektor pelancongan negara.
“Jadi dalam soal teknikal seperti visa, saya sudah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri dan menteri kata dalam peringkat awal yang kita boleh mulakan segera ialah ‘Chartered Flight’.
“Yang lain kita tengok perkembangan tetapi ia selaras dengan dasar kita iaitu apa tindakan yang boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia, apa tindakan yang sesuai, itu harus diberi keutamaan,” katanya dalam ucapan beliau.
Yang hadir sama, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu, Anwar turut memuji pencapaian MOTAC kerana berjaya merancakkan sektor pelancongan menerusi lonjakkan kehadiran pelancong ke Malaysia.
Katanya, kejayaan tersebut merupakan hasil kepimpinan King Sing dalam menerajui MOTAC yang juga disifatkannya sebagai ‘orang kuat’ yang mampu menaikkan sektor pelancongan negara.
“Dalam strategi pembangunan ekonomi negara, MOTAC ini agak penting kerana ia boleh meningkatkan pendapatan negara.
“Sebab itu saya letak (menteri) yang kuat dan besar untuk memimpin dan saya ucap tahniah kerana dalam beberapa bulan ini, kita nampak lonjakan kehadiran pelancong dalam negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Tiong dalam ucapannya berkata, sebanyak 4.38 juta pelancong asing berkunjung ke Malaysia dari Januari hingga Mac lalu.
Jelasnya, daripada jumlah keseluruhan itu, 178,150 pelancong adalah dari China.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mempromosikan Malaysia di dunia terutama dari China yang memang membantu kita dalam sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya lagi.