Wanita bincang hubungan intim secara terbuka: Menteri Agama arah JAKIM bertindak
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan berkaitan kandungan lucah dalam media sosial melibatkan seorang wanita yang membincangkan hubungan intim suami isteri secara terbuka.
Beliau berkata, agensi agama itu diarahkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya juga telah mengarahkan JAKIM untuk memanggil dan membuat pertemuan bersama pihak yang berkaitan dengan memberikan nasihat serta bimbingan.
“Dalam hidup ini, ada satu akhlak yang paling penting iaitu perasaan malu. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya diantara yang didapatkan manusia dari perkataan (yang disepakati) para Nabi adalah; “Jika kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu”.(Hadis Riwayat Bukhari),” katanya dalam satu kenyataan hati ini.
Terdahulu tular beberapa tangkap layar daripada Telegram akaun Isteri Batin Idaman Suami yang dikendalikan oleh seorang wanita, membincangkan topik sensitif berkaitan rumah tangga.
Selain itu wanita itu juga aktif memberikan pandangan dalam laman sosial Tiktok dan Facebook.
Dalam pada itu, Na’im berkata, ada perkara yang tidak perlu dibincang secara terbuka termasuklah dalam bab hubungan intim suami isteri.
Beliau berkata, lebih berbahaya apabila topiknya menggunakan bahasa berbaur lucah kerana ini bukan akhlak Islam.