Program Volvo SELEKT tawar kenderaan pra-milik berkualiti
PETALING JAYA – Mereka yang berminat untuk memiliki kereta pra-milik kini boleh mendapatkan kenderaan berkualiti melalui Program Kenderaan Pra-Milik Volvo SELEKT di Volvo Ingress Swede Automobile, di sini, bermula hari ini.
Menurut Pengarah Urusan Ingress Swede Automobile, Rabian Ab Rahman, menerusi progam tersebut, pelanggan dijanjikan dengan perkhidmatan yang profesional dalam setiap pembelian.
“Setiap kenderaan Volvo terpakai di bawah program SELEKT menjalani proses ujian dan pemeriksaan menyeluruh 125 mata untuk memastikan ia memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi.
“Setiap kenderaan turut dilengkapi dengan jaminan minimum selama 12 bulan, perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam, hanya kenderaan bebas kemalangan dan banjir yang diluluskan dengan jaminan kurang dari lima tahun atau 100,000 km jarak perbatuan, serta pelbagai pilihan pembiayaan yang sesuai dengan keperluan dan bajet yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran program tersebut di Volvo Ingress Swede Automobile, Mutiara Damansara di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, semua kenderaan di bawah program Volvo SELEKT telah diubahsuai dengan teliti menggunakan hanya bahagian dan aksesori tulen Volvo.
“Semasa proses pemulihan dengan peningkatan perisian terkini, memastikan mereka berada dalam keadaan sempurna dan sedia untuk dinikmati oleh pemilik baru.
“Semua kenderaan di bawah program SELEKT akan menjalani pengesahan rekod jarak perjalanan dan sejarah penyelenggaraan untuk memastikan kualiti terbaik kenderaan yang ditawarkan kepada pelanggan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Rabian berkata, Pakej Perkhidmatan Penyelenggaraan Volvo (VSA) lima atau tiga tahun juga ditawarkan bagi mengurangkan kos pemilikan jangka panjang pemilik baru.
“Kenderaan Volvo SELEKT juga dilengkapi dengan pakej penyelenggaraan percuma selama sekurang-kurangnya satu tahun,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pelancaran program Volvo SELEKT itu juga merupakan langkah penting dalam mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan yang tertinggi, di samping memberi sepenuh perhatian kepada impak terhadap alam sekitar.