Kerajaan tumpu empat kluster penambah baikan pengurusan pelarian, pemohon suaka
PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberikan penekanan kepada empat kluster penambah baikan dalam perancangan mengukuhkan pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penekanan akan diberikan untuk menjamin dasar-dasar membabitkan kebajikan, sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
“Antara usaha itu adalah melalui penubuhan jawatan kuasa serta pasukan khas, penentuan status pelarian bagi meningkatkan keupayaan dan pembabitan agensi kerajaan.
“Dua lagi kluster penambahbaikan adalah membabitkan penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka sebagai penyelarasan penguatkuasaan di negara ini, serta penyediaan sistem sokongan sosial kepada pelarian berdaftar dengan kerajaan,” katanya melalui kenyataan kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Mesyuarat itu bertujuan membincangkan dan menetapkan dasardasar berkaitan Pelarian dan Pemohon Suaka di Malaysia dan keanggotaan mesyuarat adalah terdiri daripada Menteri dan Pegawai Kanan Kerajaan daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan mengambil berat peningkatan ketara jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Katanya, angka terkini pada Mac lalu menunjukkan 185,760 pelarian dan pencari suaka memegang kad UNHCR di negara ini, berbanding hanya 75,617 orang yang direkodkan pada 2009.
Mengulas peningkatan angka pelarian dan pencari suaka itu, beliau berkata, pelarian dari Myanmar terdiri etnik Rohingya mencatatkan bilangan tertinggi dengan 160,332 orang, diikuti Pakistan (7,109), Yaman (3,466), Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161).
Dalam pada itu kata, mesyuarat juga mengambil maklum terhadap tindakan pihak UNHCR yang mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian daripada Indonesia dan antara alasan yang diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan.
Ahmad Zahid juga mengingatkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini selaras mandat serta fungsi penubuhannya.