Berita Semasa

MAEPS Autoshow bukti pertumbuhan pembangunan kereta elektrik

SERDANG – Pameran kereta Malaysia Autoshow bukti pertumbuhan pelbagai pilihan kepada pengguna dan pemangkin kemajuan pembangunan kereta elektrik (EV) di Malaysia.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Malaysia ialah salah satu hab pembuatan elektrik dan elektronik terkemuka di Asia Tenggara.

“Kami boleh memanfaatkan kedudukan kami dengan memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantaian nilai, yang terdiri daripada semikonduktor, penderia, elektronik automotif, transceiver, bateri dan pemasangan auto.

“Pasaran EV di ASEAN diramalkan berkembang hampir 33% setahun kepada AS$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027, daripada hampir AS$500 juta pada 2021.

“Ini bermakna elektrifikasi menjadi agenda yang lebih penting dan dari perspektif automotif, kita mesti memacu ke arah matlamat yang lebih tinggi untuk penembusan EV dalam negara kita,” jelasnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kiri) mengunjungi booth pameran kereta elektrik BMW ix1 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Pameran Kereta Malaysia Autoshow di Dewan A Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, memandangkan Malaysia menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Malaysia memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan semua aktiviti kami terutamanya pengangkutan.

“Elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu diserapkan ke dalam perniagaan sebagai keperluan yang semakin berkembang yang boleh memacu penciptaan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan dan menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju.

“Kami pasti bahawa dengan elektrifikasi, komponen kenderaan akan menjadi lebih mudah dalam pemasangan, tetapi lebih canggih dalam reka bentuk dan pembangunan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Pameran kereta terbesar Malaysia itu berkenaan kembali diadakan semula selepas tiga tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.

Pameran yang diadakan pada 4 hingga 7 Mei ini melibatkan 32 pengeluar peralatan asal (OEM) dan 170 pempamer daripada tujuh negara.

Pameran itu juga adalah salah satu daripada program perdana MARii untuk berinteraksi secara langsung dengan orang awam, dan sebagai satu acara mempamerkan kenderaan generasi akan datang (NXGVS).

Show More

Related Articles

Back to top button