[VIDEO] ‘Kita mohon NFCC bantu heret penipu ke mahkamah’ – MHO
PUTRAJAYA – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) diseru membantu menyelesaikan kes sindiket penipuan pelaburan yang membabitkan dua buah syarikat berasingan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa penipuan tersebut sudah hilang arah selepas laporan mereka diklasifikasikan sebagai sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),Rujuk kepada Lain Jabatan (ROA) atau Rujuk Lain Agensi (RLA).
“Apa yang kami inginkan adalah satu penyiasatan dan pertuduhan di mahkamah (terhadap sindiket penipuan). Pihak NFCC turut menyatakan komitmen, mereka akan membantu kes ini dengan menyalurkan maklumat kepada agensi siasatan.
“Kita mohon NFCC boleh bantu dari sudut melakukan koordinasi dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak NFCC di Menara Sri Wilayah, di sini hari ini.
Selain Hishamuddin, kira-kira 50 individu yang merupakan mangsa kepada sindiket penipuan syarikat Zutello dan aplikasi e-ganjaran itu berkumpul sambil membawa plakad memohon siasatan terhadap kes berkenaan.
“Tindakan syarikat Zutello yang memperdaya para pelabur dengan menjanjikan pulangan faedah dalam bentuk Ringgit Malaysia secara bulanan adalah satu perbuatan yang bertujuan serta berniat jenayah untuk menyeleweng wang yang tidak sepatutnya dibenarkan.
@malaysiatribune “Apa yang kami inginkan adalah satu penyiasatan dan pertuduhan di mahkamah (terhadap sindiket penipuan)” – kata Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim sambil menyeru NFCC supaya bantu selesaikan kes sindiket penipuan pelaburan. #malaysiatribune #scammer #mho #nfcc #zuttelo
“Para pengadu juga hilang wang simpanan hasil penat lelah mereka yang dikumpul selama bertahun-tahun dalam sekelip mata. Jika kejadian ini dibenarkan berlaku tanpa sebarang tindakan, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa pihak berkuasa tidak mengambil serius berkenaan kes penipuan yang dilakukan pengarah dan syarikat yang berdaftar,” katanya.
Aplikasi e-ganjaran pula, jelas Hishamuddin, menggunakan modus operandi dengan cara menjanjikan ganjaran baucer subsidi bagi setiap pembelian baucer syarikat berkenaan.
Syarikat Zutello dan aplikasi e-ganjaran itu dipercayai mula bergerak aktif di antara tahun 2020 sehingga 2022 sebelum kedua-duanya tidak dapat diakses oleh para pengadu.