Berita Semasa

Kertas rayuan pengampunan Najib akan dibawa pada masa lain, yang lebih sesuai – Lembaga Pengampunan

PUTRAJAYA – Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan membawa kertas rayuan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk pertimbangan pada masa yang sesuai akan datang.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ia akan dibuat mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai.

“Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas
rayuan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.

“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, pada Jumaat lalu Lembaga Pengampunan telah mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.

Katanya, mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Jelasnya, raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button