Cuaca panas: Jemaah menteri bincang kemungkinan lanjutkan cuti persekolahan – TPM
PONTIAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jemaah Menteri akan membincangkan sama ada untuk melanjutkan cuti persekolahan atau sebaliknya berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Memetik laporan Utusan Online, katanya, kerajaan telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu rakyat menghadapi fenomena itu, termasuk kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan bagi memantau dan membantu mereka yang terkena strok haba.
“Saya fikir itu harus dibincangkan di (peringkat) Jemaah Menteri,” katanya ketika menjawab soalan adakah keperluan melanjutkan cuti persekolahan akibat cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pontian dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Johor di Kompleks Muafakat Benut, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, laporan mesyuarat berkaitan strok haba telah diserahkan kepadanya dan usaha penyelarasan antara kementerian dan jabatan yang terlibat sedang dijalankan.
“Ketika ini iklim di negara kita sudah berubah dengan haba panas mula melanda, terutamanya di Kelantan dengan dua kematian. Kementerian Kesihatan juga telah mengambil langkah-langkah tertentu, dan kita nasihatkan rakyat di kawasan yang dilanda haba panas ini agar dapat minum air bersih dengan lebih banyak.
“Saya dimaklumkan oleh MetMalaysia bahawa panas ini akan berakhir pada pertengahan bulan Mei. Jadi saya berharap walaupun ini fenomena baharu, tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.
Dua kematian disahkan akibat strok haba yang membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kelantan.