Nahas Double Six: Dua penyiasat Australia terbunuh dalam nahas kapal terbang dua bulan kemudian
CYBERJAYA – Dua wakil syarikat pengeluar pesawat yang terlibat dalam penyiasatan nahas Double Six pada tahun 6 Jun, 1976, turut terbunuh dalam satu nahas kapal terbang dua bulan kemudian.
Maklumat tersebut terkandung dalam laporan siasatan tribunal Australia yang didedahkan semalam.
Laporan itu menyebut, Government Aircraft Factories (GAF) yang mengeluarkan pesawat Nomad N22B 9M-ATZ tersebut telah menghantar pemangku Pengarah Rekacipta Pesawat, David Hopper dan Ketua Juruterbang Ujian, Stuart Pearce ke Sabah bagi membantu kerajaan Malaysia dalam siasatan nahas tersebut.
Kedua-dua mereka dilaporkan terbunuh dalam nahas pesawat GAF N24 Nomad ketika melakukan penerbangan ujian di Victoria, Asutralia pada 6 Ogos, 1976..
Identiti mereka hanya diketahui umum apabila laporan GAF didedahkan semalam, berikutan nyahklasifikasian laporan sama oleh kerajaan Malaysia awal bulan ini.
Dalam laporan mereka mengenai nahas Double Six yang dikendalikan oleh Sabah Air, Pearce dan Hooper berkata syarikat penerbangan itu beroperasi secara haram kerana Jabatan Penerbangan Awam (CAD) ketika itu tidak meluluskan draf manual operasinya.
Seperti laporan Malaysia mengenai nahas itu, laporan mereka juga menolak kebakaran atau sabotaj sebagai punca kejadian, menunjukkan bahawa siasatan awal mendapati lebihan muatan di bahagian belakang pesawat menjadi punca.