Jenayah & Mahkamah

Rompak pelantar minyak: Empat ‘lanun’ ditahan

KOTA TINGGI – Empat ‘lanun’ tempatan ditahan selepas disyaki melakukan rompakan bersenjata di pelantar minyak Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan berlakunya rompakan di jeti berkenaan kelmarin pada jam 10.30 malam.

Katanya, rompakan tersebut dipercayai berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4.35 pagi semalam.

“Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 12.30 tengah malam dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat orang yang disyaki berada di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, suspek dilihat bertindak cuba menenggelamkan bot gentian kaca.

“Ekoran tindakan suspek tersebut, bot gentian kaca digunakan suspek telah tenggelam di lokasi dan kesemua empat suspek telah berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan dan bertindak terjun ke laut.

”Hasil pemeriksaan telah menemui dua orang kru warga tempatan berumur 24 tahun dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

”Mangsa mengatakan ketika kejadian pelantar dinaiki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah menyerang dan mengikat kaki, tangan dan mulut mangsa sebelum dikurung di dalam sebuah kabin di atas pelantar tersebut.

”Mangsa telah terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, kesemua suspek warga tempatan yang berumur diantara 27 tahun hingga 47 tahun telah ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili.

Suspek juga direman selama lima hari bermula hari ini hingga 29 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

Nilai dan barangan perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button