Gadis curi kad ATM rakan, beli iPhone diberkas polis
KUALA LUMPUR – Seorang gadis berjaya diberkas polis selepas mencuri kad ATM milik rakannya dan menggunakan wang tersebut untuk membeli telefon bimbit serta barang kemas.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, suspek yang diberkas Jumaat lalu itu dikesan berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.
Katanya, pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.
“Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.
“Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehinggalah pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek kemudiannya diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu.
“Suspek berumur 21 tahun itu diberkas kira-kira jam 12.25 tengah malam.
“Dalam serbuan itu pihak polis merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa,” katanya lagi.
Semalam, tular di media sosial seorang gadis mendakwa dirinya menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri.
Menurut mangsa, kad ATM berkenaan diambil selepas dia membenarkan suspek untuk menumpang tidur di rumahnya sebelum menyedari duit dalam akaun banknya lesap.