Tertekan akibat hilang kerja punca lelaki pecahkan cermin kereta jiran
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak memecahkan kereta jiranya dipercayai akibat tertekan kerana kehilangan kerja dan jirannya yang didakwa kerap membuat bising dalam satu kejadian di Taman Puchong Perdana, Puchong dekat sini, Khamis lalu.
Pemilik kereta berkenaan yang juga merupakan suri rumah menyedari keretanya dipecahkan lelaki itu selepas terdengar bunyi bising dari luar rumahnya. Bertindak atas laporan, polis kemudianya berjaya menahan suspek di tempat kejadian dan merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, siasatan mendapati kejadian berpunca akibat suspek mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan selain melepaskan geram kerana jirannya selalu membuat bising.
“Semakan lanjut mendapati suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek sudah pun dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Jumaat lalu.
“Dia mengaku salah terhadap pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah, oleh sebab itu, dia ditahan di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara enam bulan.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 45 saat kejadian itu di media sosial menunjukkan seorang lelaki sedang memecahkan cermin sebuah kereta dengan sebatang kayu.