Jenayah & Mahkamah

Polis buru suspek ‘serang’ rumah dengan mercun

GOMBAK – Polis sedang memburu sekumpulan individu yang bermain mercun sehingga mendatangkan kecederaan kepada orang lain di Kampung Changkat di sini, pada 31 Mac lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad, pada Jumaat lalu, pihaknya telah mengesan satu hantaran di TikTok berhubung kejadian berkenaan yang bertajuk “Mercun attack rumah”.

“Dalam video tersebut juga memaparkan seorang individu telah mengalami kecederaan di belakang telinga dan seorang individu lagi mengalami kecederaan di bahagian paha sebelah kiri.

“Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati, kejadian berlaku pada 31 Mac yang lalu jam lebih kurang pukul 12.05 tengah malam.

“Semasa pengadu satu wanita warga Indonesia berumur 27 tahun berada di rumah terdapat sekumpulan individu bermain mercun menghala ke rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Noor Ariffin, susulan kejadian itu, seorang wanita berumur 24 tahun cedera di paha manakala seorang lelaki remaja berumur 19 tahun cedera di belakang telinga.

Sehubungan itu, usaha untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

Kes disiasat polis di bawah Seksyen 435/324 KK iaitu (Kianat Dengan Api atau Benda Letupan sehingga mendatangkan kecederaan.

Show More

Related Articles

Back to top button