Berita Semasa

Hari Ibu: Pertunjukan Fesyen Ibu dan Anak bakal diadakan 15 dan 16 April ini

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Ibu yang akan tiba tidak lama lagi, penganjur persembahan fesyen terkenal, MF Academy akan menganjurkan Pertandingan Pertunjukan Fesyen Ibu dan Anak berkonsepkan membangunkan Malaysia Madani.

Pengasas Ibu dan Anak, Program Pemerkasaan Wanita, Datuk Dania Abd Wahab berkata, program tersebut yang akan dianjurkan pada 15 dan 16 April ini di pusat beli belah Atria Damansara Jaya bertujuan membina ikatan kasih sayang antara ibu dan anak di samping mewujudkan generasi yang berkualiti dengan diterapkan nilai-nilai murni.

“Program ini merupakan platform yang baik untuk ibu dan anak menyampaikan mesej, ini kerana sebelum ini fesyen hanya dilihat sebagai peragaan pakaian tetapi kali ini kita mahu tonjolkan nilai kekeluargaan.

“Selain persembahan fesyen melibatkan ibu dan anak, sepanjang dua hari itu juga kita buka booth atau reruai untuk memberi peluang kepada usahawan wanita menjana pendapatan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Dania yang juga Duta Supermodel Universe Malaysia Antarabangsa berkata, sepanjang uji bakat diadakan pihaknya menerima sambutan yang sangat menggalakkan dan lebih mengujakan terdapat kanak-kanak berusia 3 tahun turut serta.

Katanya, pasangan ibu dan anak yang berjaya melepasi peringkat uji bakat kemudiannya akan melangkah ke peringkat akhir pada 15 dan 16 April ini.

Beliau berkata, pemenang akan menerima hadiah wang tunai di samping hadiah tajaan daripada penaja selain berpeluang menjadi duta produk.

Selain itu, katanya, mengambil semangat bulan Ramadan, pihaknya juga mengambil pendekatan beramal dengan peserta akan memperagakan pakaian yang direka oleh kanak-kanak autism.

Pada masa sama beliau berkata, separuh daripada jualan tiket juga akan diserahkan kepada kanak-kanak autism yang terpilih.

Show More

Related Articles

Back to top button